Mar 1, 2011

WAHIDDUL RIJAL-BAB 2, scene 2 (Tembung)



”Malam  ni hang rasa nak buka langkah apa pulak? Tanya Abang Jan yang sama-sama menyewa rumah dengan ku termasuk empat rakan yang bekerja satu tempat dengannya.

”saya tak tau lagi la. Tengoklah apa yang nak keluar nanti.” jawab ku

”hang sedia ya.” pesan Abang Jan, sambil aku bersiap untuk pelajaran baru yang mungkin aku akan dapat malam ni.

Langkah mula dibuka, Abang Jan seperti biasa memulakan langkah dengan bacaan ayat suci. Aku turut serta dengan bacaan Basmallah dan kemudian mula mengatur tapak dengan tertib.
Bunga ditari sebagai mukadimah sesebuah pertembungan. Dari sini dapat ku tafsirkan betapa tingginya pekerti bangsa Melayu yang mana sebelum bersudi-sudian,  bertari dengan musuh. Menunjukkan taring masing-masing.



Andai taring sebelah pihak lebih gah tampaknya di pihak yang satu lagi, mungkin tidak akan jadi pertembungan, bahkan dalam sembah tari hadapan raja tidak sekali-kali ditayang punggung, inikan lawan juga sekali-kali tidak ditunjuk tempat penyah tinjaan itu, selain tidak mahu terlepas pandang dari gerak-geri pihak lawan.
Tapak tiga ku kuak, aku lebih suka berdepan daripada memandang pesaing dengan sebelah mata. Aku tak boleh merendah-redahkan pesaing. Aku sering mendapat pelajaran yang baru dari Abang Jan, jadi aku harus berhati-hati dengan setiap langkahan ku.

”yaaarrgh..!” sergah Abang jan sederhana kuat lantas serangan pertama dilepaskan dengan tangan kanan ke arah telinga kiri ku. Aku siku tebar jalanya ke atas agar buku limanya melepasi paras kepala.

Tangan kanan ku rodok ke rusuk kirinya dengan pantas ditepis hingga berpusing badan ku dan membelakanginya, yang nak dibandingkan dengan ku, aku lebih sasa. Lalu satu tendangan hinggap di belakang ku hingga terpelanting aku agak jauh  dari tempat tadi.
Bergulung aku di tanah, kemudian  bertapak semula untuk mendapatkan semula langkah yang hilang tadi. Aku berpaling kembali ke arah Abang Jan dan aku mulai langkah ku dengan membuka kekuda rendah. Sedang siap kekuda dipasang Abang Jan terus menerjah ke arah aku dengan sepak layang ke kiri muka ku. Aku sambut sepakan dengan pantas aku cuba menyerang bahagian sulitnya, ternyata Abang Jan lebih pantas dengan menarik semula kakinya yang ku rangkul ke tanah dan menepis tangan kanan ku ke luar.

Bahagian depan badan ku terdedah dengan seribu satu jenis hukuman yang mungkin aku terima. Lantas Abang Jan menghalakan senjatanya yang terdekat dengan ku, lutut kirinya. Sempat ia hinggap sebentar ke bawah leher ku, lalu aku siku kedalam dengan tangan kiri. Abang Jan sedikit membelakangi aku, peluang ini ku ambil dengan membuat kuncian dari sisi kanannya lalu aku kuatkan rangkulan pada lehernya sehingga tangannya terangkat ke atas. Abang Jan meronta untuk melepaskan diri, lalu dia tiba-tiba memusingkan sedikit badannya kekiri walau kemas kuncian ku.

Kaki kirinya dialihkan kebelakang kaki kanan ku, lalu dengan satu kuakkan kaki kirinya ke depan aku hilang keseimbangan. Sedang aku mencari keseimbangan lantas terlepas kuncian tadi. Bila dapat kembali tapak, kaki kanan ku yang ke depan tadi diketisnya lagi dengan kaki kirinya. Namun tak berganjak kerana tapak yang aku paku di tanah sudah pun kukuh. Kemudian aku serang dengan sepak layang ke sisi kanannya dengan kaki kiri.
Disikunya keting ku dengan tangan kanan. Tanpa menghiraukan keperitan pada kaki kiri ku, aku hidang pula penumbuk sulung ku kearah dadanya dengan tangan kanan setelah kaki kiri ku berlabuh semula ke tanah. Abang Jan dengan pantas mengelak ke kanan dan sambil melompat dihadiahnya tendangan ke dada ku. Terlentang aku atas tanah.



” hang ok ka?” tanya Abang Jan sambil menghulurkan tangan pada aku tanda menghentikan permainan.

”eeearrgh...! Ok. Ok. Sikit je” aku menyambut tangan kanannya lalu bangun. Ternyata kelincahan Abang Jan tak dapat aku tandingi. Susuk tubuhnya yang kurus pejal itu terlalu pantas untuk aku tandingi.

”hang ni ’dok’ fikir apa? Hang kurang tumpuan hari ni, kalau aku ni musuh hang betul-betul parah hang” tambah Abang Jan lagi.

”hehehe.” aku cuma mampu mengekek sambil mengurut dada.

”buka ikatan bengkung hang, mai aku urut dengan minyak panas ni.” pelawanya.

”selalu cukup susah aku nak sentuh hang, tapi sejak kebelakangan ni senang sangat.” rungut Abang Jan seperti seorang guru yang  sedang memarahi anak buahnya.

”tak ada apa-apalah, letih sikit malam ni.” balas aku

”letih keluar dengan Sue ke?” sindir Abang Jan.

”awat hang tak ’declair’ saja dengan dia?” tambahnya lagi.

” eh! Ke situ pulak orang tua ni?” sangkal ku.

”apa pasal pulak tak boleh? Hang tu bukan muhrim dengan dia, boleh kahwin bukan?” sambil menguatkan urutan ke badan aku.

”adoooi!”

”kalau dah suka, buat apa berselindung, terus terang saja.” katanya.

”ish, Abang Jan ni, kami ni sepupu la.” sangkal ku lagi.

”sepupu ke, kupu-kupu ke sepapat ke boleh kahwin kan? Lagipun ’hangpa’ saudara jauh jugak apa nak tak bolehnya? Orang tua Abang Jan pun saudara dekat jugak, orang dulu-dulu pun banyak yang kahwin dengan sepupu-sepapat, tak jadi masalah pun. Ni hang. Apa hang nak segan?” leter Abang Jan pada ku.

”dia ’start’ dah.” kata ku menyindir.

”amboi-amboi ayat"

"nah hang urut sendirilah. huh!” ditepuknya tempat lebam di dada ku agak kuat.

Abang jan bangun dan kemudian berlari menuju ke dalam rumah sambil mentertawakan aku yang menahan kesakitan akibat tepukannya tadi. Aku kemudian meluru mengejar Abang Jan yang kemudian melarikan diri dari aku masuk ke dalam rumah sambil ketawa berdekah-dekah.

No comments:

Post a Comment