Mar 5, 2011

WAHIDDUL RIJAL-BAB 2, scene 6 ( 'bengong' )

Hari baru muncul lagi, tanpa aku sedar sudah empat bulan aku membuat persiapan untuk hari yang cukup aku nantikan ketibaannya lagi tiga bulan dari sekarang. Hari yang bakal menentukan penerimaan dan hari aku bergelar pengkarya yang mendapat tempat di mata ratusan pengkarya yang lebih dulu makan garam dari aku. Asam garam itu akan aku rasa jua walau perit, walau pahit, hari penentuan yang menjadi medannya untuk aku sama-sama merasa nikmatnya.

Aku hanya berserah setelah berusaha atas Af’al yang diberikan kepada ku. Aku berkehandak dengan kehendakNya untuk bergelumang dalam arena yang pastinya mencabar untuk orang muda yang tiada pengalaman seperti aku.

Adakah aku bersedia?, Apakah aku sudah tidak ada jalan lain untuk ku turuti?, Apakah ini pilihan terbaik?, Aku tidak peduli lagi asal aku berada atas landasan yang telah ditentukan olehNya. Ini yang terbaik untuk ku buat masa ini, mungkin akan datang lain pula yang akan dikurniakan pada ku.

Bila ku tatap kembali foto-foto yang ku kumpul semasa pencarian ku ke seluruh pelusuk tanah Melayu, terkenang kembali pengalaman dan pengajaran yang hanya aku yang tahu. Satu pengajaran dan pembelajaran yang ’hanya aku yang tahu’ itu, dapat aku kongsikan kepada umum melalui pameran yang bakal menentukan arah kerjaya ku nanti.



Aku berharap dan mimpikan yang indah bakal aku tempuhi nanti, namun aku sedar atas penentuan yang telah termaktub. Aku Cuma berdoa dan bermohon untuk melancarkan segala urusan ku dan aku dapat tempuhi walau buruk yang ku terima. Aku terima.

Sedang asyik melayan kerjaan ku itu, tiba-tiba pintu bilik gelap tempat ku mencuci foto-foto ku dibuka.

”Wahid, dah la tu rehat la sat. Jom makan dulu, Abang Jan beli cucur udang ni” ajak Abang Jan.

”sekejap, sikit lagi. Sekejap lagi saya keluar.” jawab ku.

”ok, cepat sikit sejuk sat lagi tak sedap dah.” ujarnya sambil berlalu dari situ.

”eh! Ye pun tutup la pintu tu abang sayang oi...” kata ku selepas ku sedari pintu studio tak bertutup.

”ops. Maaf bos.hehehe” kata Abang Jan sambil tersenyum seperti kerang busuk.

Abang Jan sering juga ke studio tempat aku berkarya tak jauh dari rumah sewa kami. Abang Jan sering membawa makanan untuk aku selepas pulang dari pejabatnya. Dia aku anggap sebagai abang sejak perkenalan kami masa sama-sama belajar dalam jurusan seni di Perak dulu. Dalam bidang yang kami ceburi, aku boleh dikatakan lebih bernasib baik kerana aku terus terjerumus dalam bidang yang kami pelajari. 

Abang Jan yang tidak mampu untuk merneruskan kemahuannya dalam seni selalu bersama aku menghayati, mengkritik karya ku mahupun karya orang lain untuk menelampiaskan rindunya pada bidang seni ini. Dia juga kadang-kadang menghasilkan karya dan sering menjadikan aku tempat rujuk.

”hang tak bosan ke asyik buat benda ni saja?”tiba-tiba terpacul soalan yang tidak aku jangka akan keluar dari mulutnya.

”eh, kenapa Abang Jan cakap macam tu. Mana bosannya kalau dah terlalu asyik dengan maksud dan tujuan yang baik ni?” Balas ku.

“tak ke hang rasa yang seni tanah air kita ni terlalu kecil skopnya. Masyarakat kita sendiri majoriti buta seni.”ujar Abang Jan.

“hang tak rasa susah ke nak jadikan ini punca utama pendapatan hang?” tambahnya lagi

Mungkin ini dapat menjadi panduan untuk menjawab persoalan mengapa Abang Jan tidak berkarya sepenuhnya melainkan hanya suka-suka sahaja. Mungkin tanggungjawabnya sebagai ketua keluarga untuk adik-adiknya yang kebanyakan masih belajar menjadikan dia sedikit pasif dengan profesyen ini. 

Tak mustahil satu hari nanti aku sendiri akan merasa apa yang dia rasa setelah aku perlu menanggung tanggungjawab tertentu yang bakalan datang pada aku, kemudian tak mustahil aku akan melepaskan ‘kesenangan’ aku ini. Tanggungjawab dalam mencari nafkah dan sumber kewangan memang mencabar kalau sudah terjerumus dalam ‘lumpur seni’ ini, tapi aku harus tabah.

“hang ni dah tua bila nak cari bini, nak beranak-pinak?” soalan seterusnya membuatkan aku tersedak bila aku tidak membalas soalannya sebentar tadi.

“ la ke situ pulak, dia tanya orang, dia bila lagi?” balas ku sambil mengelap mulut ku yang berselekeh.

”aku lain la, aku ada tanggungjawab lain yang aku kena selesaikan dulu. Hang dah tak ada tanggungjawab lain senang la sikit nak berumah tangga.” dakwanya.

”ah sudah, ’marka’ pun tak ada nak kahwin macam mana?” balas ku.

 ”Sue...?” kata Abang Jan ringkas yang sekali lagi buat aku tersedak.

”dia mula dah.”balas ku ringkas tak mahu dia teruskan lagi kata-katanya.

”hehehe” seperti biasa dia ketawa selepas menguji ku samada benar aku berpacaran atau tidak.
 
Kepastian yang sering dikehandaki Abang Jan pada ku mungkin sebab kata-kata nekad ku dulu padanya. Ketika itu aku masih belajar bersama-sama dengannya. Aku sering merujuk pada Abang Jan bila aku hadapi masalah. Waktu itu aku baru ditinggalkan oleh orang yang aku amat sayang dan aku berharap dapat aku jadikan isteri. 

Aku telah ditinggalkan dengan seribu satu persoalan, apakah salah aku atau hanya salah faham semata. Aku ditinggalkan dengan ayat yang mudah difahami ayatnya tapi tak mudah di mengerti puncanya, ’kita berpisah saja, antara kita dah tak serasi lagi’. 

Cukup mudah dan pada itu aku mulai putus asa untuk bercinta dan aku pernah bersumpah di depan Abang Jan yang aku tidak akan bercinta lagi. Mungkin ini yang menyebabkan Abang Jan seperti mendesak untuk tahu apakah aku benar-benar berpacaran dengan Sue atau tidak.
Aku pun tidak tahu apa sebenarnya perasaan aku terhadap Sue, aku pun bingung, dan aku takut dikecewakan sekali lagi. Aku takut pada keadaan yang boleh membuatkan aku kufur ke atas nikmat yang aku terima. Aku takut dari lupa yang menguji aku seebenarnya adalah Yang Maha Menentukan, dan bukan layak untuk aku untuk engkar.

Sehinggalah pertemuan aku dengan Sue yang sedikit sebanyak membuatkan aku lupa akan sumpah ku. Aku mula cuba untuk membuka pintu hati ku semula untuk menerima kehadiran seorang wanita. Aku memang sayang pada Sue tapi sayang ku ini rumit untuk aku huraikan. Persoalan Abang Jan tidak dapat aku jawab, kerana aku sendiri tidak tahu akan keadaan dan aku tidak tahu apa pula perasaan Sue yang sebenarnya terhadap aku.

”Sue macam mana? Maksud Abang Jan, apa perasaan dia pada hang?”

Persoalan ini yang membuatkan aku bingung kerana aku sendiri tidak tahu apa perasaannya pada ku. Aku takut terkecewa lagi dan aku tidak berani untuk mengetahui perasaannya pada ku, kerana aku takut bertepuk sebelah tangan lalu terus aku biarkan persoalan ini berakar dalam otak ku yang terbatas ini. Mungkin aku benar-benar cintakan Sue, oleh kerana itu aku takut untuk mengetahui perasaan Sue pada aku dan aku kemudian hanya berserah.

Sue pernah menceritakan tentang pengalaman pahit dengan kekasih lamanya pada ku. Disebabkan itu dia pernah menjauhi lelaki-lelaki yang pernah menyatakan cinta padanya. Mungkin Sue akan menjauhkan diri dari aku bila diketahui yang sememangnya aku sayang padanya, sayang yang bagaimana pun aku sendiri pun tak tahu. 

Aku fikir elok aku dan Sue terus begini dari aku menyatakan sesuatu yang mungkin akan menjauhkan Sue dari aku. Aku memang sayang padanya. Aku tak sanggup berpisah dengannya. Ini perasaan ku terhadap Sue. Ini sebenarnya perasaan ku terhadap Sue. Sayang yang sukar ditafsirkan.

Aku akan berasa sentiasa ingin bersamanya, walau tidak setiap saat, walau tidak setiap minit, walau tidak setiap jam, asal aku bertemu dengannya barang sekejap sudah memadai.

Aku kemudian menghantar pesanan kepada Sue, seperti biasa aku mendapat balasan yang biasa aku dapat darinya.

”ok... ;)” balasnya seperti biasa.

Setiap hari aku mesti berjumpa dengan Sue. Tak lengkap hari ku sejak empat bulan lalu kalau tidak aku temukan Sue walaupun seminit dua. Aku kemudian bangun menuju ke dalam studio tanpa berkata sepatah pun. Aku runsing dengan keadaan. Hanya dengan berkarya dapat aku lupakan sejenak apa yang aku runsingkan. Apa perasaan mu pada ku?

”Wahid... Wahid.”  terkumit mulut Abang Jan sambil menggelengkan kepala.




No comments:

Post a Comment