Mar 1, 2011

WAHIDDUL RIJAL-BAB 2, scene 3 (kayu)




Malam itu aku tak dapat melelapkan mata.

 Aku memikirkan persoalan mengapa makin ramai kini yang lebih suka pada yang lain selain dari warisan nenek moyang mereka? Contoh terdekat, Sue. Mana kurangnya kehebatan seni panglima, hulubalang, pendekar-pendekar melayu? Sampai ada pula anak bangsa yang merendah-rendahkan ilmu datuk nenek mereka yang berjuang atas nama bangsa dan agama dulu.

 Zaman sekarang dah moden, mana boleh bawa keris merata-rata, orang buka bunga tembak saja dengan pistol, dan macam-macam lagi alasan, walau aku tahu mereka malas untuk menjaga diri sebenarnya.

Pernah sekali aku hilang pertimbangan semasa sedang aku dan Abang Jan minum petang di sebuah gerai tepi jalan berdekatan dengan tempat kerja aku.

Orang-orang yang berpakaian kemas bertali leher di sebelah meja tempat aku dan Abang Jan sedang minum rancak bersembang tentang rompakan yang berlaku berdekatan beberapa hari sebelumnya. Lalu salah seorang dari mereka mengusulkan belajar seni beladiri. Lalu lelaki gemuk di hadapannya mengeluar kata-kata yang telah menaikkan darah ku ke muka.

”kalau berbunga-bunga buka silat, kena tembak sekali terus tumbang.” kata lelaki gemuk tersebut sambil ketawa.

Aku yang hilang sabar, lalu menepuk meja mereka. Terkedu sebentar orang-orang yang berbaju kemas bertali leher itu. Aku kemudian dengan agak menekan tapi perlahan nadanya bertanya pada orang yang gemuk tadi.

” tuan cuba letak atas meja ni besar mana pistol tuan?” cabar ku.

“Wahiiid...” tegur Abang Jan lembut.



Lalu aku terus beredar dari situ, takut kalau-kalau  orang gemuk itu membalas kata-kata ku dan ada yang patah gigi hari itu terus makan bubur berbulan-bulan. Abang Jan kemudian menyusul aku sambil memberi senyuman yang manis kepada orang-orang yang berbaju kemas dan bertali leher tersebut.

Sekarang aku terfikir tindakan ku itu mungkin akan menyebabkan mereka makin ’negative’ terhadap silat atau kalau sebaliknya alangkah baiknya. Aku patut bersabar waktu itu. Mungkin ramai yang beranggapan orang-orang yang bersilat semuanya angkuh seperti aku waktu itu, lalu memilih yang lain. Aku sedikit menyesal bila terkenangkan peristiwa itu, andai aku bersabar waktu tu.

Puas aku fikirkan bagaimana caranya untuk aku sebagai seorang penggiat seni foto tempatan dan penulis sambilan ini dapat membantu para guru silat untuk memeriahkan lagi gelanggang mereka.

Andai kesedaran tokoh-tokoh politik dan orang-orang yang bertanggungjawab dalam memartabatkan seni ini sama membantu tok-tok guru dengan memberi arahan kepada badan-badan yang berwajib untuk melaksanakan kewajipan mereka mempromosikan silat Melayu kepada orang-orang Melayu yang makin hilang identiti keMelayuan mereka.

Teringat aku akan kata-kata berhikmah dari arwah ayahanda kepada guruku yang disampaikan kepada aku melalui jurulatih yang bertanggungjawab mengajar aku dulu ‘Bukan besi yang menetak kayu, tapi kayu yang menetak kayu’. Kata-kata itu menyedarkan aku betapa Melayu kini sungguh tidak beradab dan beradat sehingga mereka menjadi pengkhianat seni sendiri.

Seperti mana keris, satu senjata yang aku anggap sebagai tanda kebesaran dan lambang bangsa Melayu, penuh dengan adab dan adat dari proses penghasilan sehingga ke permainan. Cukup tinggi martabat orang-orang yang terdahulu berkeris berbanding kini yang mana kerisnya layu dan lunyai dengan fitnah dan dakyah dari umat melayu sendiri. Ada pun hanya dipamer dalam kaca buat tatapan dengan sedikit penerangan diberi di bingkai kacanya.



Mana maruah bangsa? Melayu masa kini seakan-akan bertelanjang kerana mereka sendiri yang melondeh pakaian yang dihadiahkan oleh nenek moyang mereka.
Aku pasti andai Melayu tetap teguh dengan adat dan adab, falsafah keMelayuan, tamadun Melayu moden kini akan lebih gah di mata orang luar. Namun aku hanya boleh berangan-angan sendiri sahaja. Semua ini tak mungkin terzahir tanpa kesedaran ’kayu-kayu’ yang menetak ’kayu’ tersebut. Rumit, sungguh rumit.



No comments:

Post a Comment