Mar 4, 2011

WAHIDDUL RIJAL-BAB 2, scene 4 (nilainya laksana)


Kereta kancil hitam ku aku pandu perlahan menuju ke rumah sewa Sue. Aku rasa berat hati untuk bersama dan membawa Sue ke kelas pertama seni mempertahankan diri yang dipilih atas dasar ’seronok’nya itu.



Setiba aku di hadapan rumahnya, Sue sudah pun terpacak di situ dengan menggalas beg berwarna merah jambu. Sue yang manis bertudung putih kuning, berbaju putih dan berseluar  merah hati besar dan labuh yang aku pinjamkan padanya tersenyum tatkala nampak aku tiba di hadapannya. Pintu kereta dibuka dan dia terus masuk sambil mengucapkan salam kepada ku seperti selalu setiap kali kami bertemu.

”slow je bawa kereta hari ni?” soalan pertama terkeluar seperti tahu isi hati ku agaknya.

”berhati-hati di jalan raya, biar lambat asal selamat.” balas ku.

”ye lah tu. Selalu bawa kereta macam pelesit.hehehe.” perli Sue.

”bukan apa, masa tu Wahid kena kejar masa.” aku memberi alasan.

”ye lah tu.” balasnya ringkas seakan tahu aku tidak suka akan keputusannya ini.

Sepanjang perjalanan ke kelas tersebut yang tak jauh dari situ, aku hanya mendiamkan diri saja. Aku tak tahu apa yang patut aku bualkan dengan Sue, takut-takut terungkit tentang hal yang bermain di kepala ku ini dan menyebabkan Sue merajuk.

Jadi sebaik-baiknya aku diamkan saja dan tengok apa rentetannya selepas  ini. Sampai saja kami ke tempat yang dituju, Sue terus berlalu keluar dari kereta tanpa berkata sepatah pun. Ah! Sudah. Dia dah merajuk agaknya. Aku kemudian mengunci kereta dan terus mendapatkan Sue yang dah agak jauh kedepan.

”hai kenapa ni, macam ada yang tak kena je?” soal ku.

”tak ada apa-apa lah.” jawab Sue ringkas.

Aku dah boleh agak dari air muka, percakapannya, dia memang merajuk dan perlu aku pujuk. Aku seperti biasa buka cerita yang tak ada kena-mengena dengan situasi semasa dia merajuk dan buat sedikit lawak, seperti biasa Sue akan ketawa dan menampar bahu aku. Aku dan Sue mula ketawa dan Sue seperti melupakan pekara yang berlaku sebelumnya.

Sampai di dalam kelas latihan tersebut, aku lihat ramai juga yang datang berlatih. Ada yang sedang berlatih sendiri dengan memukul ’punching bag’, ada yang diberi tunjuk ajar oleh jurulatih, dan ada yang baru bersiap untuk latihan. Sue kemudian berlari mendapatkan rakan-rakannya yang berada di satu sudut kelas.

Aku perhatikan saja, dan kemudian duduk di kerusi panjang yang disediakan berdekatan dengan pintu masuk. Apa yang dapat aku perhatikan, orang-orang yang mengikuti latihan di kelas tersebut begitu bersungguh-sungguh. Mereka betul-betul serius dengan latihan yang diberikan. Mungkin kesedaran tentang pentingnya mempelajari seni mempertahankan diri cukup menebal selain untuk menjaga kesihatan dan tubuh badan.

Pelatih-pelatih baru termasuk Sue diberikan taklimat ringkas oleh seorang jurulatih. Mereka kemudiannya diminta mencari pasangan untuk menjalani latihan pertama. Sepanjang latihan tersebut aku lihat Sue dan rakan-rakannya asyik ketawa dan bergurau-senda. Aku rasa ingin saja aku bangun dan menegur mereka supaya serius semasa belajar. Jurulatih yang mengajar tidak sikit pun memperdulikan perlakuan mereka, apa lagi menegur. Bagi aku, mungkin jurulatih tersebut berfikir ’lantak lah budak-budak ni, asal duit masyuk’. 

Kalau ini kelas aku, tidak sekali aku biarkan pekara sebegini berlaku, gurau senda hanya selepas atau sebelum waktu kelas, waktu kelas harus beri tumpuan dan serius. Aku banyak menyaksikan latihan-latihan pelbagai seni mempertahankan diri, dan kebanyakkan mereka yang sebangsa dengan ku sering tidak serius dalam latihan.

 Belajar main-main, bermain pun main-main. Sedikit Cuma yang dapat ku lihat betul-betul serius dalam latihan. Aku sering saja mengeluh sendiri bila aku terpandang situasi-situasi yang seperti itu berlaku depan mata ku. Pekara seperti ini sering aku lihat di sekolah-sekolah dan mana-mana pusat pengajian tinggi. Hendak ku tegur, siapa aku? Tak mahu aku dikatakan ’lebih sudu dari kuah’, tak ku tegur, sakit hati aku melihatnya. Jadi lebih baik aku beredar dari terus menyakitkan hati aku sendiri yang sedia sakit.

Aku keluar ke kawasan terbuka di hadapan kelas tersebut dan nyalakan api rokok. Sedang asyik aku sedut dan hembus bahan radikal bebas yang memungkinkan aku diserang penyakit itu, tiba-tiba terdengar suara menegur aku dari belakang.



” tak join kelas sekali ka?” tanya suara tersebut.

”eh tak, saya hantar sepupu datang belajar di sini saja” kata ku.

”hang dah tak ingat aku ka?,dari tadi aku dok perhatikan hang. hang tak perasan aku ka?” ujar lelaki di hadapan ku itu.

Aku cuba ingatkan kembali di mana pernah aku berjumpa dengannya, dan siapa namanya. Namun aku tak dapat mengingati siapa dia dan di mana pernah aku berumpa dengan dia.

”aku Jeff, kita pernah jumpa masa pertandingan tomoi di kedah tahun lepas, masa tu Karim Botak yang perkenalkan hang kat aku. Ingat dak?” terang lelaki yang memberitahu aku namanya Jeff itu dengan loghat utara yg pekat.

”oh ya. Baru aku ingat, hari tu hang ada naik ’stage’ kan? Ingatan hang ni kuat betul naa?” kata ku apabila teringat semula waktu tu.

“ ya, tapi hari tu aku main kat atas ’stage’ tak berapa baik la. Macam mana boleh ada kat sini?” tanya Jeff.

”aku ada projek dengan Balai Seni Shah Alam. Projek pameran Foto Alam Melayu lagi lima bulan, jadi la ni menyewa sementara dengan kawan sebab nak siapkan karya di studio kawan dekat dengan seksyen 7.” terang ku.

”oh ya ka? Projek besar nampak. “ katanya

“Ahamdulillah, rezeki pertama lepas tamat belajar, dekat dua tahun berkarya baru dapat peluang.” Balas ku.

“ok la tu, mungkin lepas ni dapat banyak lagi peluang, mungkin nanti dapat buat pameran solo ke, tak mustahil.” Katanya yakin dan seperti mengerti tentang perjalanan penggiat seni.

“Insyaallah. Kalau ada rezeki ke situ, Alhamdulillah syukur.” balas ku.

”hang kerja di mana sekarang?” tanya ku.



”aku buka  kelas ’Kickboxing’ di Ampang Park, mai sini pun seminggu sekali. Kelas ni kawan aku yang punya, tu yang boleh sampai ke sini.”katanya .

Perbualan antara aku dan Jeff berlarutan sampai ke peristiwa global. Sedar tak sedar kami berbual hampir dua jam, sampai Sue datang menegur kami yang sedang asyik berbual. Aku perkenalkan Sue pada Jeff, kami kemudian diajaknya Sue minum di gerai yang berdekatan bersama kawan-kawannya. Aku dan Jeff menurut saja.

Sepanjang di gerai tersebut aku dan Jeff berbual tentang perancangannya untuk menganjurkan seminar beladiri untuk golongan kanak-kanak dan wanita yang dirancang sejak setahun lalu katanya. Aku bertanya kenapa ambil masa begitu lama, dia menjawab tiada badan-badan bukan kerajaan yang berminat untuk terlibat memberi sumbangan.

Masalah sekarang cuma modal perlaksanaan program. Jeff tak berputus asa dan mula mengumpul modalnya sendiri dari hasil kelas ’kickboxing’nya. Jeff atau dengan sebutannya berbunyi 'Jep' yang berbangsa Siam Kedah, begitu bersungguh-sungguh mempromosikan seni beladiri nenek moyangnya.

Aku terbayang andai ramai lagi seni-seni silat yang lain berusaha seperti Jeff, alangkah bagusnya. Berkorban seadanya untuk seni warisan dan untuk orang lain. Alangkah baiknya. Aku juga pernah terfikir untuk menganjurkan program yang sedemikian rupa, tapi terhalang oleh sikap bangsa ku yang negatif dan menyebabkan aku negatif dari mencuba terlebih dahulu.

 Aku tak mampu untuk melaksanakan program seperti itu, yang aku mampu hanya mengajak pada yang mahu dan membuka mata masyarakat melalui Pameran Foto Alam Melayu yang aku sertai ini.

Karya-karya ku mengenai silat dan persilatan. Aku harap dengan karya-karya ku akan terbuka minda mereka-mereka yang baru nak mengenal dan tidak kenal budaya sendiri. Karya-karya ku mudah difahami dengan rentetan setiap foto ada mengandungi jalan cerita. Mustahil aku rasa bagi orang yang buta seni untuk tidak memahami isi kandungan karya ku yang menyindir, berharap dan memohon mereka agar kembali menghayati budaya dan pakaian nenek moyang mereka.



Aku cuma boleh berharap dan berusaha. Sama seperti Jeff, kami boleh berharap dan berusaha namun kesedaran ada di tangan orang-orang yang ingin kami sedarkan. Walau begitu, perlaksanaannya tetap juga kami laksanakan. Matlamat aku dan Jeff sama tapi cara berbeza. Aku lebih suka dengan cara yang halus dari terang-terangan, sama seperti adab dalam alam Melayu, berlapik, penuh silau dan ilat sebelum sampai pada maksud yang sebenar.

Setelah agak lama kami di situ, Jeff terlebih dahulu meminta diri. Kemudian aku, Sue dan rakan-rakannya beredar dari situ dengan haluan masing-masing. 
Semasa dalam perjalanan pulang aku bertanya Sue sesuatu yang tak ku sangka dia akan merajuk lagi.

 Aku cuma bertanya sama ada dia nak belajar atau hanya nak bermain-main. Dia diamkan saja pertanyaan aku sehingga kami tiba dihadapan rumah sewanya. Sue kemudian keluar dari kereta dan terus masuk ke dalam rumah tapi masih sempat mengucapkan salam kepada aku. Ah! Dia merajuk lagi. Malam ni terpaksalah aku ber’massage’ dengannya dan cuba buat dia ketawa lagi. Rumit. Sungguh rumit.


Ketawa aku sendirian di dalam kereta.

No comments:

Post a Comment