Mar 23, 2011

WAHIDDUL RIJAL-BAB 2, scene 11 ( retak )




Hari pameran dah semakin dekat. Aku dengan tekun menyiapkan kerja-kerja yang tinggal sedikit itu. Kerja-kerja akhir yang perlu aku lakukan dengan teliti untuk tidak merosakkan usaha ku yang telah lama aku usahakan. Aku tidak mahu buat kerja di saat terakhir seperti semasa aku belajar dulu, sentiasa berlaku kesilapan-kesilapan kecil yang akan merosakkan keseluruhan hasil karya ku.

Beberapa bingkai foto yang ku pungut dari seluruh pelusuk negeri telah siap berbalut, hanya menunggu masa untuk dibawa ke galeri. Sudah menjadi tabiat ku dari  dulu, selesaikan satu persatu. Kini cuma tinggal bingkai yang terakhir.

”Yaaargh...! siap juga akhirnya!” jerit ku puas. Kemudian aku balut bingkai foto itu dengan cermat. Kemudian aku menyanyi-nyanyi kesukaan. Dalam seronok meraikannya sendirian aku dengar dari tingkat bawah rumah sewa ku jeritan Abang Jan yang memberi tahu bahawa dia baru saja pulang.

”assalamualaikum. Awat yang hang ’happy’ sangat ni?” tanya Abang Jan.

”dah habis, seminggu ni boleh la rehat-rehat sikit.” jawap ku.

”apa yang dah habis?” tanya Abang Jan lagi.

“tu ha.” Kata ku sambil menunjuk ke arah bingkai-bingkai foto yang telah dibungkus rapi.

“hmm, bagus la tu.” balas Abang Jan ringkas.

“eh,macam tak suka saja. Kenapa ni?” tanya ku bila ku sedari yang raut wajah Abang Jan tidak seperti biasa, yang ceria sepanjang masa.

”tak aih... bukan tak suka, jom pi minum” ajak Abang Jan sejurus tersenyum pahit seperti cuba mengalih topik.

”kenapa ni Abang Jan?” tanya ku lagi mendesak.

”jom lah kita minum dulu, sejuk-sejukkan badan. Nanti Abang Jan cerita dari awal sampai akhir.” Pujuk Abang Jan.

Aku tanpa bercakap banyak terus ku capai kunci kereta yang disangkut di tepi almari baju dan terus ke kereta bersama Abang Jan. Dalam kereta aku dan Abang Jan tidak bercakap apa-apa. Aku pandu kereta ke tempat yang selalu kami singgah untuk minum petang.

Sampai saja di persimpangan kedai tempat selalunya kami bertandang, Abang Jan meminta aku patah balik dan dia mengajak aku ke tempat lain. Aku berasa pelik juga, di situ tempat kegemarannya. Kenapa hari ni Abang Jan mengajak aku ke tempat lain pula. Aku tanpa banyak bertanya walau penuh persoalan di kepala ku ini, terus memandu pergi dari situ.

Aku dan Abang Jan turun dari kereta sejurus tiba di seksyen enam, kami kemudian menuju ke warung yang letaknya berdekatan dengan tempat Sue mengikuti kelas seni mempertahankan dirinya. Kami kemudian duduk agak terpinggir dari pelanggan yang lain. Selalunya Abang Jan akan duduk dekat dengan televisyen yang ada di setiap kedai makan yang kami kunjungi. Aku terfikir mungkin pekara yang ingin dicakapkannya ini sesuatu yang sangat serius.

”Wahid.” Abang Jan mula bersuara namun terhenti tanpa aku tahu sebabnya.



Aku ternanti-nantikan kata-kata seterusnya. Namun Abang Jan hanya beralih muka dari memandang ku dan ditenungnya lama ke arah jalan raya. Aku cuma mampu mendiamkan diri dan menanti ucapan yang seterusnya. Andai Abang Jan sedang menghadapi masalah yang sangat berat aku tidak akan teragak-agak untuk membantunya semampu daya ku.

Aku dan Abang Jan sudah seperti saudara benar, tidak akan aku biarkan dia sendirian menghadapi masalah. Abang Jan sudah banyak membantu ku dalam pelbagai masalah yang aku hadapi, jadi tidak akan menjadi masalah bagi ku untuk membantu andai dia sedang ditimpa kepayahan. Aku cuba hendak bersuara,namun niat ku terhenti kerana aku tidak mahu mendesaknya, biar dia yang memulakan bicara. Itu yang aku rasakan terbaik buat masa sekarang.

Lama juga aku nantikan kata-kata dari Abang Jan, kemudian dengan menghela nafas yang panjang dia mula memandang ku semula dan ingin terus menghabiskan kata-katanya yang terhenti sebentar tadi. Aku sambil merapatkan lagi tubuh ku kearahnya dan dengan peka menanti luahannya.

” Abang Jan bukan nak masuk campur, Abang Jan cuma…” kata-kata Abang Jan terhenti lagi.

“Abang Jan dah anggap hang macam adik Abang Jan sendiri… Abang Jan tak mahu tengok hang bersedih lagi macam dulu, terus terang Abang Jan tak suka hang jadi orang yang macam tu lagi, tapi…” kata-kata Abang Jan menjadi persoalan yang tidak dapat aku agak.

“macam dulu yang macam mana ni Abang Jan, saya tak faham la?” Tanya ku dengan seribu satu persoalan yang perlu dihurai oleh orang yang aku anggap sebagai abang kandung ku itu.

“baiklah Abang Jan tak mahu berselindung lagi, sebenarnya tadi Abang Jan dah singgah minum dekat gerai yang selalu kita pergi tu...”

“habis tu” sampuk ku tanpa sempat kata-kata Abang Jan tadi dihabiskan.

” Abang Jan jumpa Sue... dia tak kenal la Abang Jan kan tapi Abang Jan pernah tengok gambar dia, jadi Abang Jan duduk la tepi meja yang dia duduk tu…” sekali lagi Abang Jan tidak mahu menghabiskan kata-katanya.

”jadi?” tanya ku yang semakin bingung dan bimbang sesuatu yang aku tidak tahu mengapa.

” Abang Jan nampak Sue tengah bercakap-cakap dengan seorang lelaki, Abang Jan curi-curi dengar apa yang diborakkan… Abang Jan bukan apa, Abang Jan tak mahu tengok hang jadi murung macam dulu lepas hang berpisah dengan Ain.” Abang Jan tidak menhabiskan kata-katanya, namun aku dapat meneka apa yang ingin disampaikan olehnya.

”apa yang mereka bincangkan?” aku sedikit memberikan senyuman yang seikhlas mungkin untuk tidak merisaukan hatinya.

” Abang Jan tau yang hang bersemangat sangat selama ini untuk siapkan karya-karya hang tu, hang buat cantik-cantik untuk Sue kan? Demi Sue kan?” persoalan kembali yang aku terima.

Aku hanya mampu mendiamkan diri dan mendengar ucapannya yang seterusnya. Aku dah dapat bayangkan apa yang akan diperdengarkan ke telinga ku. Tapi apakah benar sangkaan ku,apakah benar apa semua yang dicakapkan Abang Jan yang kemudian membuatkan aku dapat mengagak apa yang ingin disampaikannya.

Namun yang aku tahu, kata-kata Abang Jan selama ini tiada yang tidak akan aku percaya, tidak dapat tidak akan aku terima apa yang disampaikannya dan mengakui ianya benar, kerana Abang Jan tidak pernah membohongi aku.

”apa yang mereka bincangan?” tanya ku lagi dengan nada yang sedikit berubah dari tadi.aku mulai tak sedap hati.

”yang Abang Jan dengar Sue panggil dia nama dia Aiman.” katanya.

Selama ini segala apa yg bersarang di benak kepala ku aku luahkan. Abg Jan turut tahu akan siapa Aiman adanya.



Aku yang tidak dapat lagi menahan perasaan terus meminta Abang Jan berterus-terang dengan ku. Abang Jan yang teragak-agak pada permulanya terus menceritakan apa yang didengar dan disaksikannya satu-persatu  yang mana Sue akhirnya menerima kembali bekas teman lelakinya dan nampaknya dari cerita Abang Jan, Sue juga seperti masih tidak dapat melupakan kekasihnya dulu.

Betapa kecewanya aku ketika itu tidak terbayangkan. Tak aku sangka keindahan yang aku kecapi selama ini cepat sangat berlalu pergi dari aku. Abang Jan cuba menenteramkan aku bila dapat dilihatnya raut wajah ku yang mula berubah mendung tidak berhujan.

Aku kemudian mengajaknya untuk pulang walau belum lagi pesanan yang kami minta tadi sampai. Setelah aku hantar Abang Jan pulang ke rumah, aku memecut kereta menuju ke gerai yang dikatakan Abang Jan tadi.

Benar apa yang dikatakan Abang Jan, mereka sedang berpegangan tangan sambil berbual mesra seperti pasangan yang sudah lama tidak bertemu. Wajah Sue ketika itu seperti seorang yang terharu selepas menerima satu anugerah yang telah lama ditunggu-tunggu luruhnya dari langit.



Mereka kelihatan begitu mesra sekali saling berpandangan dengan masing-masing tampaknya sayu dengan sejarah yang dilakarkan hari itu. Sesekali si lelaki budiman mengelap pipi Sue yang lembap dek air mata yang tak tahan berlinang selamanya.

 Mereka melepaskan rindu dendam masing-masing yang lama sudah agaknya diperkasam, agar lebih sedap kelak disantap. Aku rasakan seperti hendak terkeluar jantung dari dada ku, betapa kecewanya aku waktu itu hanya tuhan saja yang tahu. Aku sudah terlewat untuk menyatakan yang sebenarnya terbuku di hati ku pada Sue.

Sudah terlepas permata indah itu dari genggaman ku. Tidak! Aku yang membuangnya dengan tidak menyatakan hasrat ku untuk menjadikan Sue kekasih aku. Aku yang membuangkannya jauh dari ku, jauh ke tempat yang mustahil untuk aku ketemukannya semula.

Sue kemudian terpandang ke arah ku kerana terasa ada yang memandang ke arahnya. Cepat-cepat aku berpaling dan pergi dari situ. Aku tidak mahu mendengar apa-apa dari Sue. Aku sudah terlalu kecewa.
Aku cepat-cepat kembali ke kereta ku dan ku pandu mengikut saja haluan yang sebenarnya tiada berhaluan.

Sungguh cepat bahagia yang aku kecapi ini pergi. Fikiran waras ku kemudian mula dihuru-harakan oleh suara-suara yang menyuruh ku melakukan pekara-pekara yang bodoh. Memang benar, aku bertambah bersemangat untuk berkarya setelah kehadiran Sue dalam Hidup aku. Sue pemangkin dan Sue juga watak utama dalam hidup aku.

 Aku dapat bayangkan yang Sue tidak lagi akan bersama-sama aku, aku tidak mahu berpisah dengannya. Namun keadaannya kini, aku yang akan tinggalkannya. Aku tidak mahu meragut keceriaan yang terpancar dari wajahnya sebentar tadi dengan menjadi penyebab percakaran antara pasangan kekasih itu kelak. Aku ingin dia berbahagia selalu, walau bukan dengan ku.

Biarlah aku lupakan saja hasrat ku untuk bersamanya. Aku sanggup derita demi kebahagiaannya. Biarlah walau aku hanya sekadar menjadi pokok tempat tumpang berteduh ketika hujan, biar aku basah berhujan air matahati ku sendirian,  asal Sue berbahagia selalu. Aku tidak mahu mengungkit segala pengorbanan ku untuk Sue, aku mahu dia gembira selalu walau aku terluka dan terus terluka dan kemudian menjadi nanah yang akan kekal bernanah hingga ke akhir hayat ku.

Kenangan ku bersama Sue akan aku lupakan, walau mustahil untuk aku lakukan. Sue akan aku anggap tidak lebih dari seorang saudara yang jauh. Aku akan pasti berundur demi kebahagiaannya. Aku akan berundur. Tak mungkin aku akan jatuh cinta lagi walau aku hanya dikecewakan orang yang aku sayang tanpa disedarinya. Aku akan pergi jauh dari sini. Selamat tinggal kenangan manis yang sekejap cuma. Selamat tinggal. Selamat tinggal Sue.

Terlalu pantas ia berlalu.



untuk sekian kalinya.....aku telah memperbodohkan diri ku sendiri.......
namun senyuman tetap aku ukirkan......


No comments:

Post a Comment