Mar 7, 2011

WAHIDDUL RIJAL-BAB 2, scene 9 (sudi )


Malam itu gelap. Tiada cahaya menyinari kecuali biasan sinaran bulan yang dari tadi yang diselindungi awan. Aku sedar yang aku berada di tengah-tengah sebuah padang yang luas, kelilingnya hutan tebal membataskan pemandangan ku.

 Angin bertiup lembut melanggar-langgar tubuh ku yang tidak berbaju, namun sejuk tidak ku rasai. Awan mulai berarak ke sisi membenarkan bulan menunjukkan wajahnya yang telah sekian lama bersembunyi. Keadaan sekeliling beransur-ansur terang, menerima cahaya bulan penuh mengambang. Aku perhatikan bulan, ada aurora yang melingkarinya. Bulatan yang terbias dari cahaya bulan terbentuk menambah indahkan lagi bulan yang mana sang kejora setia menemaninya.




Dari kejauhan aku terdengar sayup-sayup suara seseorang sedang membaca sesuatu yang tidak ku fahami maksudnya. Semakin lama suara itu makin mendekati ku. Bacaannya kian jelas kedengaran. Ku amati setiap patah yang tiba di telinga ku. Ku amati setekun yang boleh, aku tidak mahu terlepas dengar walau sepatah ayat yang kedengaran. Semakin lama, semakin jelas ayat yang sama diulang-ulang. Semakin lama ku amati, aku tahu ayat apa yang ku dengar. Dua ayat terakhir dari surah al-Baqarah, tapi dari mana datangnya?

Segenap penjuru ayat tersebut melaung-laung, bergema. Siapa yang membacanya aku tidak dapat meneka, tapi suara ini seperti ku kenal. Suara siapa? Kemudian sejurus selepas kali yang terakhir ayat tersebut diulang, laungan azan ku dengar datang dari arah depan ku. Sayup pandangan ku, aku perhatikan ada sesusuk tubuh yang tinggi lampai, serba hitam. Tak dapat aku perhatikan secara terus melainkan memandang tidak tepat kearahnya baru ternampak walau kurang jelas susuk tubuh itu.



Semakin lama semakin dekat lembaga itu mendekati ku. Sesudah habis laungan azan berkumandang, tubuh tinggi lampai itu berada hanya lima kaki dari ku. Sungguh segak dengan sepasang persalinan Melayu lengkap berkeris tersisip di pinggang. Muncung hulu kerisnya dihadapkan ke depan, menandakan sasaran tusukan berada di depannya. Siapa lagi kalau bukan aku, kerana hanya kami berdua berada di tengah-tengah padang yang tak ku tahu di mana. Agak lama kami membatukan diri tanpa ada rasa ingin bertanya atau bercakap-cakap walau sepatah.

Peluh jantan mulai memercik di dahi ku. Tubuh ku kemudian menggeletar dengan tiba-tiba. Bukan kerana takut mahu pun marah. Pelik ku rasakan, tiba-tiba setiap hujung jari-jemari tangan ku berdenyut-denyut. Kemudian ku rasakan seperti ada angin yang bertiup seperti mahu digerakkan tangan dan jemari ku.

Aku kemudian menggerakkan tangan ku mengikut arah angin yang bertiup. Pergerakan tangan mulai pantas, mengikut arah angin yang memandu pergerakan ku. Aku hayati pergerakan yang terhasil, ternyata aku sedang bertari sembah silat yang tidak pernah aku pelajari. Gerakan itu mulai menular hingga kaki ku turut sama mengikut rentak. Aku tarikan dengan harmoni bersama panduan arah angin yang menghembus-hembus itu.

Sedang asyik bertari, tiba-tiba tarian ku terhenti dan seraya tangan kanan ku seperti ditarik dan dihalakan ke atas seperti menadah. Kemudian kepala ku tertunduk sedikit dan ku pejamkan mata serapat yang mungkin. Jari-jemari ku perlahan-lahan bergerak ke dalam seperti menggenggam sesuatu. Aku dapat rasakan ada sesuatu yang aku genggam. Perlahan tangan ku jatuh dan singgah di dada kiri ku.

Aku kemudian membuka kedua mata ku perlahan-lahan. Terletaknya di dada, aku sedang menggenggam sebilah keris berulu tanjong dan bersarung kayu kayu serian yang kuning ke emasan. Ku alihkan keris ke tangan kiri, kemudian tangan kanan aku halakan ke ulunya.



Aku cabut keris tersebut dari sarungnya, indah ku lihat seni yang terpamer pada matanya. Di mata keris terpahat kalimah ’Lailahaillallah, Muhammadarrasulallah” dengan palitan besi yang bewarna kuning. Keris berlok sembilan itu kemudian ku cium. Harum bau matanya, seperti bau haruman dari kasturi. Aku sarungkan semula, kemudian aku selitkan ke pinggang dengan muncung hulunya aku halakan ke depan.

”siap-siapkan diri mu.” pesan lelaki di hadapan ku.

Tanpa sebarang petanda, lelaki tersebut menyerang ku dengan teriakan yang kuat. Tumbukan yang disasarkan ke arah muka ku sempat aku elak. Aku yang dalam keadaan terpinga-pinga terus diserang buat kali ke dua, kali ini libasan kaki ke bawah dengan tujuan untuk menjatuhkan aku. Aku lompat setinggi yang boleh sebelum aku mendarat semula ke tanah.

Giliran aku pula untuk menyerang. Aku pilih untuk menyerangnya dengan tumbukan ’Musang Terjun’ ke arah mukanya yang terdedah kerana kedudukannya lebih rendah dari ku. Hukuman yang ingin aku beri ditepis keluar, dan serentak dengan itu satu tusukan padu hinggap ke perut ku. Aku terpelanting jauh ke belakang.



Aku bingkas bangun takut-takut diserangnya lagi bila aku terlepas pandang, walau perut ku masih terasa bisa tangannya. Dia kemudian melompat tinggi ke udara dengan sekali henjut mendarat tepat di hadapan ku. Aku sedikit berganjak ke belakang, dan tatkala itu satu sepakan ke sisi kiri ku dilepaskan.

Sepantas yang mampu aku dudukkan punggung ku ke tanah dan aku ketis tiang kakinya sehingga dia jatuh terlentang. Aku hentakkan pula tumit kanan ku ke dadanya, namun sempat dialasnya dada dengan kedua tapak tangan. Lalu ditolak kaki ku ke atas dan dia kemudian bingkas bangun untuk kembali bersedia dengan bertapak kukuh.

Aku lalu bangun dan sedia dengan tapak tiga. Lama tapak dipacak, lelaki itu tidak berganjak walau sedikit seperti menanti serangan dari ku. Aku lepaskan tumbuk sulung ke arah rusuk kiri yang terdedah walau aku tahu itu hanya umpanan untuk diserang. Tangan ku disiku dengan serentak dia melangkah setapak ke depan dan memberi satu tumbukan ke arah dagu dari bawah.

Mujur sempat aku kais tangan kirinya itu ke luar hingga mendedahkan bahagian ketiaknya yang akan menjadi sasaran ku yang seterusnya. Aku bertindak menyiku bahagian celah lengannya yang terdedah dengan tangan yang sama aku gunakan untuk mengalihkan ’Julang Bintang’nya tadi. Tepat ke sasaran, dia lalu terjelepuk jatuh ke belakang sedikit dari tempat tadi.

Lelaki tersebut bangun semula lantas mencabut keris dari sarung. Dilayang-layangnya mata keris  memotong angin. Aku lantas menarik keris dari pinggnag ku dan ku cabut dari sarungnya. Sarungnya ku pegang dengan tangan kiri, mungkin berguna bila berentap kelak.

Aku bertari sejenak, sambil mata ku tidak lepas dari berpaling ke arah lain selain dia yang berada di depan ku. Sedang bertari lelaki tersebut menikam tepat ke arah jantung ku, dengan pantas aku ketuk tangannya dengan sarung keris ku tepat ke urat besar tangannya sambil ku kelek sedikit badan ku ke kiri. Jatuh sahaja keris dari tangannya aku halakan libasan keris ku menuju tepat ke halkumnya.

Mata keris ku terhenti di situ, seperti dihentikan dari terus membunuhnya. Aku kemudian menyarungkan semula keris ku dan aku sisipkan semula ke pinggang. Kami kemudian berdiri mengadap masing-masing.

”aku berpuas hati dengan pertunjukan mu kali ini.” katanya.

”tamat sudah pengajaran ku pada mu, aku mahu kau semat dalam hati mu ilmu ini untuk cucu cicit ku” tambahnya lagi.

Seraya habis kata-katanya, dia melangkah mendekati ku. Sayup-sayup aku  boleh nampak wajahnya buat kali yang pertama dalam keadaan tersenyum puas. Alangkah terkejutnya aku tatkala terpandang wajahnya yang seakan wajah ku tetapi jauh lebih tua, tersenyum kepada ku.

Tersentak dengan itu, aku lantas terjaga dari tidur. Badan ku berpeluh seperti mandi, dan terasa sengal sana sini. Keadaan bilik senyap sunyi dan cahaya bulan menyinari kamarku dari luar jendela bercermin gelap. Aku usap muka ku dengan kedua tapak tangan perlahan naik ke atas sehingga ke belakang leher.

”astagrhfirullah...” ucap ku panjang.

 Aku lihat jam di tepi tilam yang aku hamparkan di lantai. Jam menunjukkan tepat pukul tiga pagi. Aku berbaring semula untuk sambung tidur ku yang terganggu sebentar tadi, namun mata ku susah untuk aku lelapkan semula. Aku bingkas bangun dan menuju ke tandas sebelah kiri tempat pembaringan ku tadi. Aku ambil wudhu, kemudian aku kenakan kain pelekat dan baju kemeja berlengan pendek biru muda. Aku hamparkan sejadah dan kemudian aku bacakan niat solat tahajud dua raka’at.

”Allahhuakbar” kerana Allah, bersamaNya, tidak sesekali akan disekutukanNya Yang Maha Mulia lagi Maha suci.


No comments:

Post a Comment