Apr 10, 2011

WAHIDDUL RIJAL- BAB 3, scene 3 ( tembelangnya pecah )



Hari ini hari terakhir pesta. Ini bererti aku tak perlu lagi mambuat jualan yang aku sendiri tak suka melakukannya. Senyuman lebar dari Mat dapat aku lihat kerana suka berakhirnya ’penderitaan’ di sini, tapi apakah dia sedar yang masih ada perkara yang bakal membuatkannya lebih ”derita” sebentar lagi.

 Malam itu selepas berkemas serba sikit, Mat, Ani, dan Zalina, ku ajak pulang terus. Azizah tidak lagi menumpang ku untuk ke sini. Nampaknya Fitri bernasib baik. Dapatlah Fitri bersama dengan Azizah. Aku tak perdulikan mereka. Ani ada memberitahu ku yang Fitri ada berniat tak baik pada Azizah, yang diketahuinya dari rakan Fitri sendiri.

Namun untuk apa aku ambil peduli atas pekara tersebut. Eloklah untuknya, aku baru perasan yang Azizah selama ini mamakai ’pemanis’ dan ’guna-guna’ ke atas aku. Eloklah untuk mereka berdua yang sama-sama mengamalkan pekara yang tak elok. Aku sedar bila aku termuntah hijau malam selepas aku pulang dari Padang Kota bersama Azizah, dan aku mendapat alamat yang tidak baik akan terjadi kelak kerana menolaknya.

Payung dah ku sediakan, perahu dah aku sediakan. Cuma menanti hujan di langit, menanti bah sahaja. Aku sedar kini, jadi perlakuan aku malam itu adalah perkara yang tidak perlu aku kesalkan.

”eh. Hangpa nak pi mana?” tanya Abang Man bila ternampak aku dan yang lain-lain bingkas mahu terus pulang.

”kami nak balik lah Cik Man.” balas Ani.

”nanti sat. Kita pi kedai biasa dulu untuk makan. Saya ada hal nak bincangkan dengan semua.” kata Abang Man.

”tak apa, kami tunggu di sana saja.” kata ku kepada Abang Man.

Kami berempat berlalu dari situ dari situ menuju ke kereta. Mat dan Ani seperti biasa berkepit sepanjang perjalanan. Sesampai di kedai makan yang dimaksudkan kami mendapatkan tempat yang biasa kami labuhkan punggung untuk mendengar ceramah-ceramah dari Abang Man sebentar lagi.

Aku pesan makanan yang paling mahal dan minuman yang agak mahal juga. Aku ambil kesempatan ini kerana aku tahu yang kami semua akan bakal di”sponsor’ oleh abang Man dan juga aku tahu yang apa yang bakal Abang Man ceramahkan nanti adalah sesuatu yang bakal mengecewakan semua orang.


Jadi aku anggapkan sebagai makan dan minum ku malam ini adalah upah aku bekerja siang malam selama sebulan ini. Sementara Mat, Zalina, dan Ani masih bergembira. Aku kasihankan mereka, tapi apa yang boleh aku buat. Tidak daya aku untuk berbuat apa-apa sehinggalah masanya sebentar lagi.

Ani dan Zalina datang dari jauh, pantai timur. Mat pula dari Perak. Mereka ke sini semata-mata untuk mencari rezeki, tapi akan telah dikhianati. Aku tak sampai hati untuk menyatakan yang sebenarnya pada mereka. Biar ceramah sebentar lagi yang menentukan.

Abang Man, Azizah, Fitri dan yang lain-lain tiba serentak. Azizah cuba menunjukan kemesraannya bersama Fitri untuk apa maksudnya pun aku tak dapat pastikan. Aku terus menjamah makanan yang tersedia dihadapan ku tanpa menghiraukan keadaan sekeliling.

”hebat makan malam ni?” sapa Abang Man.

Aku hanya senyum sinis sahaja dapat aku berikan padanya dan teruskan makan dengan tetib. Aku rasa Abang Man dah dapat mengagak apa yang aku fikirkan. Abang Man dan yang lain-lain duduk dan membuat pesanan masing-masing. Sebaik selesai menjamah makanan masing-masing, Abang Man mula membetulkan kedudukannya dan mula untuk memberikan ceramahnya.

”kalau malam ni dia tak beritahu pekara yang sebenarnya aku akan balik ke Kedah malam ni juga” bisik ku dalam hati sambil memandang ke arah Abang Man dengan sorotan mata yang jarang-jarang aku kelipkan.  

”malam ni ada satu berita yang menyenangkan dan berita-berita yang kurang menyenangkan.” permulaan ucapanya yang akan meleret-leret sebentar lagi.

”berita baik yang saya maksudkan adalah gerai kita adalah yang ramai mendapat sambutan dari pengunjung dari awal sehingga ke hari akhir pesta...” kata-kata Abang Man ini memang benar kerana banyak jualan yang dapat dibuat, termasuklah jualan yang aku buat jika dicongak kembali dengan peratus yang patut aku dapat ada juga mencapai tiga ribu ringgit Malaysia untuk bulan ini sahaja.

”tapi berita yang kurang menyenangkan pula adalah saya dapat tahu yang ada segelintir dari kita yang tidak menjalankan tugas seperti yang sepatutnya. Berita ini saya dapat dari ’chief’ yang saya pertanggungjawabkan untuk memantau semua yang bertugas. ...(tambah meleret-leret, entah apa yang dicakapnya. Mungkin nak dijadikan alasan untuk pekara yang bakal diucapnya nanti) Ada juga berita yang seorang penyamun sudah ’songlap’ duit syarikat...(wah topik malam ni ada kelainan, ada yang menarik perhatian ku) Saya sudah siasat dan saya sudah kenal pasti siapa orangnya dan saya akan jumpa dengannya secara ’personal’ untuk membincangkan pekara ini untuk diselesaikan secara luar balai atau di dalam balai baru kita cerita. Yang pasti dia akan saya berhentikan...” dakwa Abang Man yang mula menunjukkan wajahnya yang garang dan serius.

Kalau duit dia yang hilang ke lubang cacing dia cari, tapi gaji aku dan yang lain-lain yang bertungkus-lumus bekerja ni tak hendak ke dibayarnya? Aku tak kisah kalau dia ada pekara yang penting lain untuk dia lunaskan tapi jangan ditipunya aku yang sedia tahu keadaannya. Aku tidak boleh bekerja lagi dengan orang yang tidak jujur.

” ’chief’ boleh kita ke sana sebentar.” pelawa Abang Man kepada Fitri yang sedang ’kepanasan’ mendengar ceramah Abang Man ke meja yang agak jauh dari tempat kami berlabuh. Aku dapat mengagak, dengan cara pandangan Abang Man kepada Fitri menampakkan yang dialah yang dimaksudkan AbangMan sebagai penyamun tersebut.

Bagi aku mudah saja, jika kita jujur dari permulaan kita akan menerima kejujuran dari orang lain. Pekara yang aku ingin dengarkan juga masih belum kedengaran. Sebentar kemudian mereka kembali semula ke tempat masing-masing.

”baiklah nampaknya antara saya dan ’chief’ kita selesai dengan baik...(ada lagi ceramahnya, dah merepek-repek) Terdapat satu lagi yang ingin saya beritahu di sini. Saya merasa kecewa dengan anda semua yang tidak mencapai jualan yang saya harapkan. Jualan yang tak seberapa ni, berapa sangat dapat saya bayar kamu semua yang ’demanding’ ni? Jangan harap untuk...”

”Abang Man saya rasa jualan yang kita dapat melebihi dari lima ribu sehari dari awal sampailah ke akhir pesta.” potong ku sebelum Abang Man menghabiskan kata-katanya. Aku tahu dia hanya membuat alasan itu untuk menyembunyikan pekara yang sebenar yang aku ketahui dari perbincangannya dengan Ridzuan marketing managernya yang aku dengar petang tadi secara tidak sengaja. Aku bernasib agak baik kerana persediaan sudah aku buat walau sebelum aku ketahui pekara tersebut.

”mana hang tau? Hang pantau ka jualan setiap hari?” bentak Abang Man yang terkejut dengan ku yang baru malam ini aku menunjukkan taring.

”saya dah ’photostate’ jumlah jualan sebulan yang dibuat semasa pesta.” kataku sambil mengeluarkan dokumen yang aku cetak semula dan bercetak tandatangan Abang Man bersamanya. Aku hulurkan kepada rakan-rakan yang lain untuk melihat dan pastikan dokumen tersebut. Jangan ditanya dari mana aku dapat semua ini, yang penting kebenaran haruslah ditegakkan, bukan lagi benang-benang yang basah kuyup disiram tempias air liur Abang Man dalam setiap ceramahnya.

”secara kasarnya memang banyak jualan yang kita dapat tapi setelah ditolak dengan kos sewaan tapak dan kemudahan yang lain-lain jumlah tersebut masih tidak mencukupi.”  balasnya yang mulai menggelabah.

”saya ada dapatkan sebut harga sewaan dari pihak penganjur, dan kemudahan-kemudahan yang lain-lain tu termasuk dalam sewaan.” balas ku engan tenang sambil mengeluarkan sebut harga yang ditandatangani pihak penganjur. Aku serahkan juga dokumen tersebut kepada rakan-rakan ku untuk diteliti.

”saya hanya nak minta satu dari Abang Man, cubalah jadi seorang yang jujur, jangan ainiaya orang. Saya kasihankan mereka yang datang dari jauh untuk bekerja, tapi apa yang mereka dapat? Abang Man nak negatifkan slip gaji lagi ke? Abang Man pandai kumpul bukti-bukti untuk tangkap penyamun ni, tapi jangan lupa orang-orang lain pun dapat buat macam yang Abang Man buat untuk perangkap ketua penyamun macam Abang Man.” balas ku dengan suara yang tenang dan teratur.

Aku lalu bangun dan meminta diri. Mat, Ani dan Zalina yang pada mulanya tercengang mula sedar dan turut bangun. Aku mengajak mereka meninggalkan tempat  itu. Mereka akur dan ikut di belakang ku.

”eeem... satu lagi makanan saya malam ni kira sebagai gaji sebulan lah ye. Takkan tak boleh bayar kot? Segala hutang syarikat pada saya, saya halalkan saja. Takut tak boleh bayar bulanan kereta hebat tu nanti hutang ’along’ jangan lupa bayar tau.” kata-kata ku yang terakhir itu menambah kerut di mukanya yang sedia berkerut.


No comments:

Post a Comment