Apr 3, 2011

WAHIDDUL RIJAL- BAB 3, scene 2 ( cukuplah.....sudahlah.... )


”kenapa Izah buat macam tu?” tanya ku lembut

”saje je. Izah nak pergi Padang Kota.” balasnya.

”kalau ye pun tak boleh ke bawak Mat, Ani dengan Zalina sekali?” tanya ku lagi.

”hmm.” balasnya sambil mengangkat bahu dan tersenyum menampakkan giginya yang ’mancung’.

”mungkin dia orang nak naik mercedes kot?” balasnya lagi.

”satu lagi, sampai bagi tahu Abang Man yang Izah nak ke Padang Kota ni kenapa?”

”sebab nak minta tolong Cik Man bawa dia orang balik lah.” balasnya lagi.

Aku jadi menyampah dengan kelakuan Azizah malam tu, tapi aku tak tahu kenapa aku turutkan juga kemahuannya. Aku pandu kereta kancil hitam ku dengan laju. Tak sampai sepuluh minit kami tiba ke Padang Kota dari Sungai Nibong. Aku tak bercakap walau sepatah dengannya sehinggalah sampai ke gerai makanan yang terletak di tepi laut itu.

Aku dapat mendengar deruan ombak memukul lembut ke bentengan batu di sebelah kanan ku. Keadaan malam yang nyaman ini membuatkan aku sedikit tenang dan rasa hilang keletihan selepas bekerja tadi.

Aku dan Azizah membuat pesanan dan sejurus selepas beberapa minit pesanan kami sampai. Aku capai gelas barli suam dan aku cicip sedikit untuk menghilangkan dahaga.

”Wahid tak makan ke?” tanya Azizah.

”Izah nak makan, Izah makan lah.” balas ku yang baru kini kembali bersuara kepadanya.

”Wahid tahu tak? Izah suka sangat  bila dapat berdua dengan Wahid.” dakwa Azizah. Aku diamkan sahaja dari memberikan respon. Aku takut aku memberikan harapan kepadanya.

”sejak dari mula jumpa Wahid dulu, Izah dah rasa yang Izah dah jatuh cinta.” katanya lagi. Aku hanya menggosok-gosok mata berpura tidak mendengar kata-katanya tadi.

”Wahid dengar tak?” tanya Azizah bila aku hanya mendiamkan diri.

”hah. Apa tak dengar la?” tanya ku berpura-pura.

”tak ada apa-apalah.” balasnya sambil berpura-pura merajuk yang tidak sesekali akan ku pujuk. Aku tidak endahkan perbuatannya.

Agak lama juga kami di situ. Aku sudah seperti patung bernyawa yang hanya mendiamkan diri sahaja. Celoteh minah ni kadang-kadang membuatkan aku rasa loya, aku yang mendiamkan diri sejak dari tadi tak disedarinya yang asyik bercakap-cakap dengan siapa pun aku tak tahu.

Aku yang dalam kesejukan dihembus angin malam tiba-tiba rasa mengantuk sangat dan mengajaknya untuk pulang. Namun Azizah berkeras untuk tidak mahu pulang dulu. Nak ketenangan katanya. Aku biarkan sahaja kehendaknya. Ikutkan hati ku, mahu saja aku tinggalkannya di situ saja, Tapi aku tidak sekejam tu.

Aku kemudian membelek-belek telefon bimbit ku untuk menghilangkan kebosanan dari mendengarkan bunyi hurungan dari mulutnya. Aku perhatikan gambar-gambar yang terdapat dalam telefon bimbit ku itu. Aku lihat gambar-gambar Sue yang aku masih simpan hingga kini.

”Sue, Sue sihat ke? Dah makan? Dah mandi?” tanya ku dalam hati seperti setiap kali aku bertemu dengan Sue.

Apa khabarnya sekarang? Apa yang dia buat sekarang ni? Mungkin sudah tidur agaknya. Adakah dia juga masih ingatkan aku? Aku dapat rasakan yang aku masih rindukan Sue, walau aku dapat nyatakannya hanya dengan satu panggilan. Namun aku tak mampu untuk berbuat demikian.

Tiba-tiba Azizah merampas telefon dari ku. Dipandangnya gambar Sue dalam-dalam. Lalu diletaknya kembali telefon bimbit itu dihadapan ku.

”siapa ni?”tanyanya sambil menuding ke arah skrin telefon bimbit ku.

”sepupu” balas ku ringkas.

”habis kenapa tengok gambar tu tadi macam pungguk merindukan bulan saja?” tanyanya.

”mengada-ada la perempuan ni. Bukannya model nak berposing maut macam tu, meluat Izah tengok.” katanya lagi.

Aku diamkan saja. Tak penting untuk aku jawab pertanyaannya ku rasakan. Aku pelik dengan Azizah, aku tak pernah memberikan apa-apa harapan padanya, jauh sekali kata cinta padanya. Tapi dia masih terhegeh-hegeh dengan ku.

Perangainya yang mengada-ngada membuatkan aku kadang-kadang merasa menyampah dengannya. Namun aku tidak suka dalam suasana pekerjaan ada sahaja yang bermasalah dan kerja terganggu dengan masalah peribadi. Itu yang menjadi konflik pada diri ku sekarang ini. Antara kerja dan masalah dengan rakan sekerja. Antara tidak menghiraukan Azizah dan bermasalah dengannya.

Aku lalu bangun dan membayar semuanya pesanan tadi dan berlalu pergi dan meninggalkan Azizah yang masih berada di meja makan. Azizah yang nampak aku terus menuju ke kereta terus berlari untuk mendapatkan aku. Dia kemudian bertanya kenapa aku berkelakuan sebegitu rupa, namun aku mendiamkan diri dan berpura-pura menguap.

Aku pandu kereta selaju yang boleh untuk cepat sampai ke tempat yang mana selalunya aku menjemput Azizah, rumahnya. Aku tak mahu berada dengannya lama-lama. Aku betul-betul marah dengan kata-kata Azizah pada Sue sebentar tadi. Siapa yang mengada-ada selama ini? Yalah, parasnya azizah, bentuk tubuhnya boleh untuknya meminta kerja sebagai model katalog jualan langsung, tapi jangan kata-kata yang seperti itu terdengar oleh telinga aku.

Aku dan Sue dalam erti makna yang sebenar telah terpisah, tapi aku masih menyayanginya, mencintainya, menghormatinya. Aku tidak boleh dengar kata-kata hinaan terhadap Sue terdengar oleh ku.

Sesampai dihadapan rumah Azizah, ibunya telah sedia menanti ketibaan anaknya walau jam telah pun menunjukkan pukul 1.50 pagi. Setiap malam ibu Azizah menunggu kepulangannya. Tapi setiap malam juga dilambat-lambatkannya untuk pulang dengan pelbagai alasan.

Turun sahaja Azizah dari kereta, aku capai pintu yang masih terbuka jauh di sebelah kiri ku dan aku tutup sendiri. Lalu aku pecut kereta pulang ke rumah. Aku tidak perduli lagi apa yang bakal berlaku dari perlakuan ku itu. Aku tak dapat terima. Mahu aku maki semahunya Azizah di dalam kereta tadi, tapi aku tahan dan berdiam diri sahaja.

”mampuslah kau!” jerit ku sepuas-puasnya dari dalam kereta.

No comments:

Post a Comment