Apr 3, 2011

WAHIDDUL RIJAL- BAB 3, scene 1 ( pemburu rindu )

Bab 3




“berapa sale yang hang dapat hari ni?” tanya Mat yang datang dari belakang ku untuk bersama dengan ku yang sedang berehat.

“banyak jugak” balas ku ringkas, sambil menyalakan api rokok daun ku yang baru dibeli dari sebuah kedai mamak berhampiran sebentar tadi.

“aku letih la, ada lagi dua hari kita kena bertugas kat sini. Tak sabar nak tengok dunia luar pulak.” tambah Mat sambil memberikan isyarat meminta aku balutkan sepuntung rokok untuknya.

”aku sebenarnya risau ni.” kata ku pada Mat sambil membalut  rokok untuknya.

”hang tengah risau apa?”

”kau tak rasa lain ke?” kata ku sambil menghulurkan rokok yang siap dibalut kepadanya.

”pelik apa pulak?” balasnya.

”cuba kau tengok jualan yang kita buat tiap-tiap malam sampai hari ni. Aku pun ada tengok-tengok buku jualan yang ada pada Ani, jualan tiap-tiap malam lebih dari lima ribu, tapi tiap kali mesyuarat lepas tutup kedai Abang Man tetap kata jualan tak sampai ke sasaran.” luah ku pada Mat yang masuk bekerja selepas seminggu aku bekerja dengan Abang Man.

”aku yang ’designer’ ni pun nak kena turun buat jualan sama-sama dengan ’marketer’.” tambah ku lagi.

”ya lah. Bulan lepas gaji aku pun negatif saja aku dapat. Buat kerja, tak dapat gaji, tapi dapat hutang lagi ada la. Benda apa yang dia tolak banyak sangat tu ye?” Mat juga mula menunjukkan muka yang hairan dan kecewa.

”kau dah semak slip gaji. Apa yang dia tolak sampai gaji kau negatif?” tanya ku.

”dalam slip tu kata tolak deposit rumah syarikat. Enam ratus.” balasnya.

”eh. Apa yang sampai banyak macam tu sekali?” Tanya ku.

“aku tak tau lah. Tapi Abang Man kata komisyen bulan ni kita boleh beli kereta baru. Hahaha, tak lama lagi jadi orang kaya la kita ni. Balasnya yang terlalu optimistik dalam segala keadaan.
“kau tak dengar ke yang semua jualan dalam bulan Pesta ni masuk dalam jualan  syarikat?” balas ku yang tak pasti Abang Man ada memberitahu kepada semua ‘marketer ‘ mengenai pekara tersebut.

“eh, tak pulak. Ada ke?” soal Mat yang kurus tinggi itu berdiri terkejut mendengarkan pertanyaan ku tadi.

Aku hanya menghela nafas panjang sambil cuba menenangkan Mat yang tiba-tiba menggelabah. Baru nak masuk dua bulan aku bekerja dengan syarikat ini yang mana pada mulanya berorientasikan pengiklanan melalui internet. Namun kini seperti syarikat jualan langsung adanya.

Gaji aku bulan pertama juga menunjukkan angka negatif. Yang aku tahu ditolaknya deposit rumah syarikat dan lagi yang aku tidak aku tahu puncanya gaji aku yang diberi tempoh percubaan selama tiga bulan ini ditolak. Atas sebab pertolongan rakan dan kesukaran mencari pekerjaan, aku terpaksa akur dengan semua ini.

Walaupun setiap hari sepanjang bulan ini aku anggap sebagai bulan menahan lapar. Aku tak sangka yang Mat juga akan menerima nasib yang sama. Sepanjang bulan pesta yang dianjurkan Kerajaan Pulau Pinang ini, syarikat kami juga ada terlibat sama dalam aktiviti penjualan seperti mana peniaga-peniaga besar dan kecil yang lain.

Aku semasa kali pertama mula terpandang muka Abang Man aku dah rasa ada sesuatu yang tak kena padanya. Oleh kerana hormatkan kawan ku yang ada bersama ketika aku mula diperkenalkan kepada Abang Man tidak menolak untuk menerima pekerjaan yang ditawarkan kepada aku.

Namun sehari demi sehari aku menjadi yakin dengannya yang manis mulut sehinggalah aku sedikit demi sedikit mula merisik keadaan syarikat yang aku rasakan ada sesuatu yang tidak kena ini. Aku mula rasa tertekan dengan keadaan yang kian mendesak ini. Aku yang pada asalnya seorang pereka diarahkan untuk turun sama untuk membuat jualan.

Pereka-pereka yang bekerja dibawah ku juga begitu. Ada sepekara lagi yang aku hairan dengan Abang Man, tak sampai sebulan syarikat dibuka sebuah mercedes c250 dibelinya. Bila aku bertanya, untuk yakinkan orang katanya. Mana dia dapat duit sebanyak tu untuk membeli kereta semahal tu secara tunai? Namun aku buat tak endah saja kerana itu duitnya, dia berhak.

”Wahid. Azizah panggil.” panggil Ani yang bertugas sebagai kerani dari luar tempat aku dan Mat berehat.

”ada apa?” tanya aku pada Ani.

”tak tahulah, dia kata ada hal sikit.” balas Ani yang berasal dari pantai timur itu dengan suara yang lembut.

”eh Ani, mari la sini dulu, rehat-rehat.” kata Mat sambil tersenyum lebar.

”tak noklah, ada kerja lagi ni.” balas Ani menolak dengan lembut. Ani memang seorang yang rajin bekerja dan tidak pandai untuk curi tulang.

Aku yang sedia maklum dengan status mereka berdua yang baru berpacaran, meninggalkan tempat itu. Aku dapatkan Azizah yang berada di dalam lot kedai yang disewa syarikat untuk tempoh pesta selama sebulan itu.

Azizah yang berada di hadapan komputer menggamit tangan kepada ku sambil tersenyum lebar sehingga semakin jelas giginya yang ’mancung’ itu tapi menawan setiap lelaki yang memandang. Azizah manis rupanya, putih tapi agak pucat mukanya, tapi bukan menjadi selera ku seorang gadis yang tinggi lampai dan kurus seperti model itu.

Dari mula dia masuk bekerja, aku dapat agak yang dia ada hati dengan ku. Bukan untuk aku menjadi seorang yang cerewet dalam memilih teman wanita, tapi aku masih belum bersedia. Jadi untuk tidak membuatkan dia terluka atau terasa yang bukan-bukan, aku layan jua karenahnya. Aku terfikir juga kalau si Azizah ni buat rawatan pada giginya pasti senyumannya lebih manis walau susuk tubuhnya sudah agak mengiurkan.

”haha. Apa yang aku fikir ni” kata ku dalam hati sambil tersenyum sedikit sambil terus mandapatkan Azizah.

”apa halnya Izah panggil Wahid?” tanya ku.

” takde, Izah ingat lepas ni kita pergi makan dekat Padang Kota ye. Lama Izah tak makan kat sana.” minta Azizah yang aku tumpangkan setiap hari untuk ke tapak pesta sejak 28 hari yang lalu.

Selain Azizah, Mat, Ani, dan teman serumah Ani, Zalina juga aku tumpangkan kerana mereka tiada kenderaan sendiri untuk ke tapak pesta. Belanja untuk mengisi petrol kami kongsi bersama. Maklumlah gaji pun negatif.

Azizah ni walaupun berasal dari utara tapi telo percakapannya sengaja dibuat-buat seperti seseorang yang datangnya dari Kuala Lumpur atau selatan tanah air. Aku pada mula perkenalan juga bingung dari mana asalnya. Aku ada bertanya dengan seorang rakannya yang juga bekerja dibawah ku tentang asal-usulnya si Azizah ni.

Katanya anak jati Pulau Pinang, katanya lagi Azizah ni saja bercakap seperti itu. Nak jadi orang Kuala Lumpur agaknya. Kehidupan di sana tak seindah yang digambarkan.

”kalau macam tu kena lah tanyakan semua yang sama dengan kita ke sini. Tak boleh la buat keputusan sendiri.” balas ku lembut.

”ala boleh la. Tak pun lepas kita hantar dia orang balik, kita pergi la.” balasnya.

Cari penyakit, pukul 12 malam baru nak tutup kedai. Nak hantar Mat, Ani dan Zalina balik ke Kepala Batas, lepas tu nak pergi ke Padang Kota pulak.

”tak tahu letih ke minah ni.”rungut ku perlahan.

”ape? Izah tak dengar la. Bising sangat kat sini.” tanya Azizah yang terdengar akan rungutan ku tanpa diketahui maksudnya.

”kalau macam tu nanti Wahid tanya semua  dulu baru boleh buat keputusan.” balas ku sambil meninggalkan Azizah di hadapan komputer.

Aku malas nak layan Azizah lebih-lebih walau kadang-kadang aku terikut juga kehendaknya. Aku tahu pada waktu itu ada mata yang sedang memerhatikan aku dan Azizah. Seorang lelaki yang sukakan Azizah walau sudah beristeri dan beranak tiga.

Manusia mana yang pernah puas? Aku ada juga terdengar cerita mengenainya dari kawan-kawan yang sama-sama datang bekerja di syarikat aku bekerja ini. Si Fitri ni seoarang kaki perempuan. Aku juga pernah mendapat alamat yang dia ini orang yang agak berilmu, dari cara dia berjalan dan cara dia bercakap.

Aku juga tahu darinya sendiri yang dia ada mempelajari sejenis silat yang hanya menggunakan gerak yang ’haq’ katanya. Persatuan silat itu juga agak terkenal. Namun apa yang aku perhatikan Si Fitri ni dah sedikit ’gila isim’ kata orang tua-tua. Tajam pandangannya memerhatikan aku dari depan kedai.

”banyak jualan ’chief’?” tanya ku pada Fitri sejurus melintas di hadapannya untuk ketempat aku berehat tadi.

”kau tak buat jualan ke?” tanya Fitri membalas.

”saya ’chief designer’ tak wajib buat jualan. ‘chief’ pulak ‘chief marketer’ kenalah buat jualan.” Kata ku sambil terus menuju ke tempat berehat tadi sambil tersenyum sinis kepadanya.

Kadang-kadang ada saja yang tidak disukainya aku pada matanya. Aku biarkan sahaja asal tidak aku diganggu dalam kehidupan aku dan tugasan aku, itu pun sudah memadai. Aku ada dengar juga ura-ura yang Fitri tidak sukakan aku kerana aku rapat dengan Azizah. Aku rapat pun sebab Azizah yang mula rapat dengan aku, aku tak ada sedikit pun perasaan padanya. Kalau dah suka terus terang saja pada Azizah, aku tak kisah pun. Jangan aku yang menjadi mangsa cemuhan.

Jangan sampai mengganggu hidup aku.

No comments:

Post a Comment